Tuesday, 14 October 2014

KESELAMATAN KETIKA MEMANDU

                 Marcapada ini, kemalangan jalanraya sering berlaku tambahan apabila pada hari raya atau pada hari cuti umum. Malah menurut kajian yang dibuat oleh badan swasta menunjukkan bahawa kadar kemalangan meningkat dari masa ke semasa. Isu ini dikukuhkan lagi dengan keratan- keratan akhbar dan berita yang memaparkan mengenai kes-kes kemalangan jalanraya yang berlaku . Menurut rekod yang diperoleh oleh Jabatan pengangkutan jalan kebanyakan kemalangan ini berlaku disebabkan oleh pemandu kereta yang cuai dan tidak mematuhi peraturan dan etika ketika memandu. Kemalangan jalan raya telah meragut ribuan nyawa orang yang tersayang yang berada di dalam kenderaan itu. Keselamatan ketika memandu haruslah dipraktikan sebelum memulakan perjalanan yang jauh .

                Antara aspek keselamatan yang perlu dititik beratkan ialah keadaan kereta sebelum membuat perjalanan. Kereta yang digunakan haruslah dihantar ke kedai untuk diselenggara terlebih dahulu. Kita haruslah memastikan brek dan lampu isyarat arah berfungsi dengan cekap untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini . Minyak hitam dan minyak petrol wajib diperiksa. Tayar yang tidak berbunga sebaiknya diganti dengan yang baru kerana ia amat merbahaya jika dipandu didalam keadaan hujan.

               Aspek keselamatan yang kedua ialah memandu pada jarak yang selamat. Gunakan peraturan jarak "3  saat" semasa memandu untuk menggangar jarak antara kereta anda dengan kenderaan hadapan. Jika anda memandu dengan jarak yang dekat dengan kereta hadapan risiko untuk berlakunya kemalangan adalah lebih tinggi . Pemandu haruslah bersabar ketika memandu untuk tidak memotong kenderaan dihadapan secara mengejut dan menggunakan lampu isyarat arah dengan betul.

               Seterusnya ialah mematuhi peraturan jalan raya. Pemandu mestilah memandu kenderaan dengan had laju yang telah ditetapkan. Pandu di lorong yang betul sebagai contoh menggunakan lorong kanan untuk memotong kereta dan kenderaan berat berada di lorong sebelah kiri sekali apabila di lebuhraya. Berhenti jika lampu isyarat di persimpangan berwarna merah . Perlahankan kereta anda jika melalui kawasan perkampungan, sekolah, hospital dan lintasan pejalan kaki. Pemandu tidak dibenarkan memotong kenderaan lain jika terdapat garisan berganda “double line”.

              Akhir sekali  peringatan keselamatan ketika memandu, pemandu dan penumpang diwajibkan memakai tali pinggang keledar. Pastikan cermin hadapan dan cermin sisi berada di posisi dimana senang untuk pemandu melihat kereta lain untuk membelok atau memotong. Orang yang memandu kenderaan itu mestilah berkeadaan sihat, tidak mabuk , tidak mengantuk dan mempunyai emosi yang terkawal. Kerusi pemandu hendaklah di betulkan mengikut keselesaan pemandu itu sendiri. Jangan meletakkan barang di tempat brek tangan ataupon gear kerana ia boleh mengganggu.

                Konklusinya, Kita hendaklah memandu secara berhemah bak kata pepatah biar lambat asal selamat . Mematuhi segala peraturan jalan raya, menitik beratkan perkara sebelum dan ketika memandu.Pastikan kenderaan sentiasa diselenggara. Kita bukan sahaja boleh menyelamatkan nyawa sendiri tetapi juga orang yang tersayang .
               

No comments:

Post a Comment